Mengenai Kami

Tujuan penubuhan koperasi ini adalah bagi menyediakan satu platform bagi ahli keluarga dan sanak–saudara terdekat menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.


Kebanyakan anggota koperasi telah lama berjinak-jinak dengan perniagaan secara kecil-kecilan seperti membuat kerepek, kuih kering, kuih traditional dan kek lapis. Selain itu, ada anggota yang membuat jahitan pelbagai baju termasuk pakaian pengantin dan baju seragam sekolah.

Masalah yang sering dihadapi anggota sebelum penubuhan koperasi ini kurang arif dalam pemasaran dan pengagihan hasil kerepek, kuih-muih, kek lapis serta pakaian seragam sekolah tadi. Kebanyakan perniagaan hanya dijalankan secara perseorangan sahaja.

Dengan adanya semangat keusahawanan serta pengalaman perniagaan dan kerumitan dalam memasarkan hasil keluaran anggota tadi maka dengan itu timbullah idea menubuhkan koperasi ini. Mesyuarat Agung Pertama telah dilangsungkan pada 22 Mac 2009 dan secara rasminya didaftarkan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada 13 Mei 2009 dengan no. daftar Q-4-0649 di mana aktiviti utama koperasi adalah aktiviti pengguna. Dengan adanya koperasi tadi, pelbagai produk hasil keluaran anggota tadi akan dipilih, dibuat penilaian, dibungkuskan dan dipasarkan dengan jenama koperasi iaitu WARISAN SARAWAK. Aktiviti ini hanya bermula pada awal tahun 2010 kerana pihak ALK amat teliti dalam memilih produk-produk yang asli, menarik dan mudah dipasarkan atas jenama koperasi dalam dunia perniagaan yang mencabar masa ini. Dengan menjenamakan produk terpilih tadi atas nama Warisan Sarawak, produk tadi mudah dikenali oleh orang ramai dan dipasarkan ke pasaran global lagi. Koperasi dari masa ke semasa akan menambah produk-produk hasil anggota dan masyarakat Miri untuk diketengahkan dalam pasaran kepenggunaan yang global.

Visi koperasi adalah “Menjadi Koperasi Yang Berdaya Maju Dalam Keusahawanan, Tadbir Urus dan Pembangunan Modal Insan”. Manakala Misi Koperasi adalah “Koperasi yang Dinamik, Inovatif dan Berdaya Maju Melalui Perniagaan dan Perkhidmatan Yang Pelbagai Dalam Meningkatkan Sosio-ekonomi Anggotanya dan Masyarakat”

Aktiviti lain yang telah dijalankan selepas penubuhan adalah:-

i. Hub halal yang mana koperasi telah mendapatkan bekalan hasil laut dan ayam segar dan menghantar terus ke rumah anggota-anggota koperasi dan bukan anggota yang membuat tempahan. Koperasi telah berganding tangan bersama-sama membeli hasil perikanan secara pukal terus dari nelayan-nelayan dan terus diedarkan kepada anggota-anggota ke rumah dengan harga yang berpatutan. Hasilnya, anggota telah mendapat sumber ikan yang segar. Selain itu, koperasi juga telah menyediakan perkhidmatan katering dalam majlis yang kecil sahaja sahaja kerana alatan katering yang sedia ada belum mengizinkan koperasi untuk menyediakan perkhidmatan yang besar. Pihak ALK meramalkan potensi yang amat besar dalam perkhidmatan katering ini kerana ALK koperasi mampu untuk menembusi pasaran yang sedia ada.

ii. Satu lagi projek yang telah dijalankan dalam tempoh 3 bulan pertama operasi koperasi adalah jualan pakaian uniform sekolah. Walaupun projek ini telah dijalankan untuk satu jangka-pendek iaitu 2 minggu sahaja, orang ramai telah memberikan respons yang mengalakkan untuk pihak koperasi melibatkan diri dalam perniagaan ini pada masa akan datang.

Untuk makluman aktiviti koperasi hanya bermula sepenuhnya pada bulan November 2009 selepas akaun semasa dibuka di Bank Islam Cawangan Miri. Dalam 2 bulan pertama penubuhan, pihak ALK hanya membuat perancangan dalam memilih dan mendapatkan produk anggota dan masyarakat Miri untuk dijenamakan atas nama koperasi.
Kawasan operasi dan segmen perniagaan koperasi adalah di kawasan bandar. Oleh yang demikian, ALK berpandangan bahawa yang perniagaan koperasi adalah lebih signifikan ke arah perniagaan berteraskan penyediaan perkhidmatan dan memasarkan produk-produk pengguna. ALK merancang untuk menjalankan satu aktiviti perniagaan baru bagi setiap tahun bagi penambahan projek yang sedia ada. Perancangan untuk dijalankan pada tahun 2010 dan seterusnya untuk tempoh 5 Tahun Koperasi Warisan Haji Morshidi Miri Berhad adalah seperti berikut:-

i. Hub Halal – Menjual dan mengedar hasil laut dan ayam segar.

ii. Perkhidmatan katering – Kesinambungan dengan aktiviti hub halal, koperasi merancang menjalankan perkhidmatan katering secara lebih luas lagi. Koperasi juga merancang untuk menyediakan edaran makanan makan tengahari dari pejabat ke pejabat kepada kakitangan di kawasan sekitar bandar Miri pada harga budget atau dengan nama lainnya perkhidmatan ’Mangkuk Tingkat’. Seiring dengan perkhidmatan katering, koperasi juga akan menyediakan perkhimatan menyewa meja dan kerusi untuk majlis keramaian.

iii. Produk Pengguna - Pengedarkan dan pengumpulan produk-produk keluaran anggota dan masyarakat kurang berkemampuan lebih-lebih lagi ibu tunggal pada kuantiti lebih besar bagi mengurangkan kos dan pemasaran juga dibuat di bandar dan luar bandar Miri. Selain itu mengedar produk jualan langsung yang telah dikenali ramai, Revellglobal.

iv. Pengurusan sisa buangan - Menguruskan Industri kecil menguruskan sisa buangan pokok, tumbuhan dan buahan untuk mengeluarkan baja kompos dan makanan ternakan. Produk yang dikeluarkan akan dipasarkan oleh koperasi sendiri.

v. Membuka Pusat Dobi – Ini merupakan satu perniagaan yang berpostensi kerana pelanggan sasaran koperasi adalah sekolah berasrama penuh, pusat pendidikan tinggi, perhotelan dan orang perseorangan.

vi. Pusat Cuci Kereta – Ini adalah perkhimatan yang boleh menjana tunai yang mudah. Pada masa ini, koperasi lagi mencari lokasi yang baik dan boleh memberi sewaan yang rendah.

vii. Perkhidmatan membersih pejabat – Perkhidmatan ini mempunyai permintaan yang amat tinggi dan potensi sekiranya dijalankan oleh koperasi kerana boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada anggota dan masyarakat.

Pada masa ini, koperasi masih belum mempunyai kakitangan tetap bagi menguruskan koperasi kerana kekangan modal kerja koperasi dalam menguruskan dan membeli aset-aset berkaitan untuk kegunaan perniagaan dan aktiviti yang akan dirancang dan dijalankan. Dalam masa ini, ALK dan anggota sendiri akan menguruskan operasi dan aktiviti koperasi selain memberikan peluang pendapatan kepada mereka yang kurang berkemampuan seperti ibu tunggal dan mereka yang berpendapatan rendah bersama-sama koperasi dalam menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang dirancang di atas. Kertas kerja projek akan disediakan bagi setiap aktiviti yang dirancang bagi mendapat sumber modal daripada pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Pihak koperasi juga merancang untuk mendaftarkan koperasi dengan pihak e-perolehan untuk memudahkan koperasi berdaftar dalam menyediakan perkhidmatan dengan pihak kementerian dan pihak swasta. Pihak ALK akan dari masa ke semasa memikirkan perkhidmatan yang boleh disediakan oleh koperasi dalam menyahut seruan kerajaan mensasarkan koperasi agar dapat menyumbang 4% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.